Apakah komunisme satu harapan masa depan?

Azizah Asi
8 min readJul 6, 2022
Nota: Azizah Asi pernah menjadi pekerja kolar biru semasa menuntut di universiti dalam negeri dan juga luar negeri. Beliau sekarang menetap di Oxford, UK — bersama suami dan tiga orang anaknya, dan berminat menulis, berkongsi pandangan dan pengalaman. Di sini beliau hanya cuba menyatakan pandangan tanpa niat untuk meyakinkan secara memujuk atau menghasut. Beliau hanya ingin memberi pandangan alternatif dan rasional. Pendapat dan pandangan dalam tulisan ini berkemungkinan tidak menepati pandangan dan situasi sesetengah pihak — yang mana beliau tidak bertanggungjawab dalam segala bentuk kerosakan dan tuntutan. Segala bentuk penggunaan semula gambar dan penulisan daripada ruangan ini adalah tidak dibenarkan sama sekali, kecuali sebagai rujukan yang mesti dinyatakan dengan jelas sumbernya dari azizahasi@medium.com, dengan disertakan kebenaran bertulis.

Sebenarnya saya bukanlah seorang yang pakar untuk bercakap mengenai hal ini. Tetapi saya terpanggil untuk membincangkan di sini kerana pernah ianya menjadi satu modal ‘bergaduh’ dengan anak bujang saya.

Gambar koleksi peribadi penulis, sekadar hiasan.

Kisahnya begini. Petangnya, sementara menunggu latihan choir adiknya, kami telah berehat-rehat dalam kereta yang diparkir di hadapan satu sekolah private yang letaknya berdekatan dengan University Park. Sambil-sambil memerhatikan pelajar-pelajar dan orang lalu-lalang (yang bukan calang-calang), anak bujang saya mengumpan dengan kata-katanya kepada saya tentang betapa mahalnya setahun yuran sekolah itu yang bersamaan dengan gaji seorang eksekutif.

Pada malamnya, selepas makan malam yang enak dan penuh citarasa Melayu, dia mengumpan lagi dengan kata-kata: yang tidak ada satu kerajaan pun di dunia ini yang mengaku mereka adalah komunis (yang mana polisi negara mereka adalah berteraskan sosialis).

Saya terus tidak bersetuju — lalu disokong oleh seorang lagi anak bujang saya (yang sangat-sangat meminati lagu Bài Ca Hồ Chí Minh), lalu saya senaraikan beberapa negara yang saya yakin diperintah oleh kerajaan parti komunis. Setelah berbalas kata termasuk memeriksa fakta (dengan menggugel) — satu-persatu senarai saya tergugur.

Korea Utara tidak lagi mengakui mereka adalah komunis sebaliknya mereka menggunakan dasar (sosialis) yang berpaksi kepada konsep juche (self-reliance) yang diasaskan oleh keluarga Kim. Malah polisi rasmi negara dan perlembagaan mereka tidak lagi menyebut dasar-dasar yang diguna-pakai itu adalah komunism yang diasaskan oleh Marx dan Lenin (Lee, G., 2003; anda boleh baca dan download artikel yang diterbitkan oleh Stanford Journal of East Asian Affairs ini di sini.)

Segala-gala fakta yang lain pula memberi petunjuk yang negara-negara ‘komunis’ dalam senarai saya selainnya tidak mempunyai ciri-ciri tepat yang dikatakan mereka itu sebagai komunis dan negara mereka adalah komunis, walaupun diperintah oleh parti politik yang menggunakan nama yang nyata komunis. Mengapa?

Komunisme — satu anarki politikal ideal

Malam itu kami berbalas-balas kata-kata — dari perbincangan empat orang, tinggal dua orang. Saya kira perbincangan siapa komunis ini adalah sesuatu yang ‘tidak popular’ bagi generasi seperti saya, yang lahir, yang membesar, yang mendapat pendidikan di Malaysia — kerana saya telah ada pendirian yang telah dibentuk tentang komunisme, secara am, bukanlah sebagai seorang yang berpengetahuan dalam bidang sains sosial.

Tetapi, bila dicabar untuk memikirkan semula — apakah saya boleh memberi justifikasi, atau menukar pendirian itu?

Sebenarnya secara tidak langsung kita semua pernah bersetuju secara langsung dengan idea-idea komunis ini. Kebanyakan kita meminati lagu John Lennon ‘Imagine’ dan mungkin menghafal penuh senikata lagu itu dan mengakui betapa idealnya kehidupan yang digambarkan. Inilah anarki politikal ideal— satu model atau projection bagi satu zaman apabila suatu keadaan atau tempat telah berada pada tahap sempurna — satu utopia. Inilah komunisme sebenar.

Jadi, mana mungkin ada di dunia ini sekarang, negara yang boleh mendakwa mereka adalah komunis? Kalau adapun yang menjurus ke arah itu — perjalanan mereka masih terlalu jauh!

Ada apa dengan teknologi kepintaran buatan (AI)?

Dengan pembangunan teknologi terutamanya kepintaran buatan (artificial intelligence), mahupun apa-apa lagi kemajuan yang sewaktu dengannya, extended intelligence, intelligence augmentation — mungkinlah kita akan melihat satu perjalanan yang akan membawa kepada suatu keadaan ‘sustainable superabundance’. Tetapi sebelum itu kita perlu menjalani banyak perubahan dari segi teknologi dan ekonomi yang membawa perubahan positif kepada kehidupan. Agak-agak bolehkah anda bayangkan satu zaman purbakala (dystopia) dahulu dan bagaimana kehidupan manusia boleh berubah sehingga semacam yang ada pada hari ini?

Di zaman superabundance nanti, mungkinlah agaknya boleh saya katakan yang: setiap umat manusia yang lahir, secara automatik telah beroleh hak ‘mutlak’ untuk hidup saksama dengan semua orang lain. Inilah dunia ala-ala ‘Imagine’ John Lennon itu. Tetapi keadaan itu tidaklah boleh digambarkan sebagai suatu utopia yang rigid (Wood, D. W., 2019), apalagi kalau dibayangkan sebagaimana apa yang pernah dunia lalui semasa fasa cengkaman fasis, mahupun keadaan sekarang yang mana polisi-polisi sosialis digunakan dalam mengimbangi sistem kapitalis (seperti yang kita lihat di negara-negara Eropah Barat). Tetapi ianya lebih kepada sesuatu yang berkembang secara fleksibel dan mengikut pada apa yang dikehendaki dimana tidak ada apa-apa yang boleh menghadkan apa-apa yang hendak dilakukan. Inilah era transhumanism!

Mungkinkah ini cuma satu mimpi indah sahaja? Sebenarnya hanya dengan melihat pada lambakan makanan-makanan yang dibuang oleh industri tanpa memikirkan cara paling baik untuk menyalurkan kepada pihak-pihak yang memerlukan setiap hari — sudah jelas menunjukkan ‘kebodohan’ manusia dalam mengeksploitasi ‘superabundance’ — i.e. hanya untuk menjaga keuntungan maksimum mereka setiap hari. Fikirkan begini, mungkin syarikat Apple telah boleh memberi setiap manusia di dunia ini satu iPhone dengan percuma kerana pengeluaran mereka telah mencecah pada kapasiti itu, tetapi mahukah mereka berbuat demikian? Lebih berkemungkinan mereka sekarang ini sedang memusnahkan iPhone-iPhone yang patut mereka beri percuma pada kita semua, kan?

Jadi, sejauh mana kita dapat memastikan ini adalah sesuatu yang akan berlaku dan tidak akan diganggu gugat oleh anasir-anasir seperti— kebobrokan kapitalis dan kaum-kaum pemodal yang merasa mereka berhak atas setiap pembangunan yang mereka usahakan. Inilah persoalan yang pernah dibangkitkan oleh Stephen Hawking dalam satu wawancara.

Gambar sumber dari Reddit.

Kita sendiri mempunyai pemikiran yang bias terhadap setiap apa yang kita miliki, hatta setiap Ringgit yang kita perolehi secara mutlaknya adalah disebabkan atas usaha gigih kita yang bukannya atas apa-apa sokongan yang kita telah dapat. Sejauh manakah kita dapat memikirkan kekayaan-kekayaan yang ada di depan mata kita hari ini adalah longgokan-longgokan yang tidak langsung ada kena-mengena dengan betapa pandainya kita di sekolah dulu, atau betapa kuatnya kita bekerja sehingga tidak pernah nampak matahari?

Apakah kita sampai pada memikirkan bagaimana tadbir-urus yang sedia ada dapat mengagihkan kekayaan dengan adil dalam masyarakat supaya tidak ada yang tersisih? Sebenarnya, apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah kebanyakan dari kita ini tidak sedar (diri). Kerana kita memilih untuk berfikir kita ‘berada’ sedangkan tidak selayaknya. Kita ini sebenarnya hanya menjadi mainan satu sistem yang tidak mahu keadilan ditegakkan.

Pasaran bebas

Kebanyakan kenalan saya dari Malaysia di Oxford ini (yang semuanya Melayu) agak pantas memberi pandangan tentang pendidikan yang paling baik untuk anak-anak mereka. Dalam pergaulan saya (yang mungkin juga agak terhad) rata-rata lebih berusaha untuk memasukkan anak-anak ke sekolah private, walaupun pendidikan di negara ini percuma (5–16 tahun). Saya memahami keadaan ini adalah disebabkan mereka berupaya berbuat begitu, tambahan pula sistem di sekolah private ini juga memberi bursary bagi pelajar-pelajar yang layak, walaupun saya kira lebih ramai ibubapa, yang seperti saya ini, masih juga tidak mampu untuk menghantar anak-anak ke sekolah private.

Jadi bayangkan, dalam pada yuran yang menyamai gaji seorang graduan, sekolah-sekolah ini terus menjadi alat yang sangat berkesan dalam melebarkan jurang dalam masyarakat, khususnya generasi muda, disokong pula oleh pasaran-pasaran antarabangsa yang sangat-sangat teruja dengan kualiti pendidikan yang ditawarkan yang memungkinkan impian melihat anak-anak mereka menjejaki Universiti Oxford atau Cambridge satu hari nanti.

Apa yang sebenarnya ingin saya sampaikan di sini: adakah kita fikir ini adalah keadilan yang sepatutnya berlaku dimana keuntungan dibuat oleh satu-satu pihak dengan mempermainkan emosi dan kehendak yang lebih cuma pada ‘perasaan’ untuk mencapai satu cita-cita unggul sendiri tanpa memikirkan dan dengan mengenepikan hak orang lain untuk mencapai kemajuan dalam persamaan yang nyata dan adil?

Memang saya tidak dapat menafikan ibubapa adalah orang yang paling perlu banyak berkorban dalam menghadapi tuntutan bagi masa depan anak-anak mereka, tetapi sebagai ibubapa kita juga perlu berfikir secara kritikal apakah tindakan kita mencerminkan pemahaman dalam menangani realiti sebenar di dunia ini. Bukankah sesuatu yang asas seperti pendidikan sepatutnya dibentuk dengan persekitaran dan polisi yang dapat menjana kestabilan dan keadilan sosial dalam masyarakat?

Apakah yang kita harapkan dari memberi pendidikan kelas pertama kepada anak-anak kita dan membiarkan anak-anak yang lain i.e. sebahagian besar dalam masyarakat tidak mendapat hak yang sama? Apakah itu tangga-tangga yang akan membawa kita pada sesuatu yang lebih baik di masa hadapan, atau bakal menjerumuskan kita ke dalam kancah-kancah yang tidak berkesudahan?

“Happiness cannot be attained by wanting to be happy — it must come as an unintended consequence of working for a goal greater than oneself.” — V. E. Frankl

Kemanusiaan sentiasa ada batas yang tidak memungkinkan sesuatu itu adil — kerana itu bukan sifat manusia. Jadi, apakah kepintaran buatan ataupun apa-apa juga teknologi memungkinkan ‘keadilan’ ditegakkan? Apakah akan ada satu zaman ‘sempurna’ yang dijanakan oleh kepintaran buatan yang memungkinkan manusia hidup saksama? Di sinilah sebenarnya permulaan pada kemuncak perbincangan kami dua beranak malam itu — yang berakhir agak ‘tragis’.

Satu ‘Dystopia’

Saya berkata manusia ini terlalu kreatif dan berkebolehan pada sesuatu yang tak terjangkakan terutamanya bila melibatkan sifat ego yang mana ada tertanamnya ‘the seeds of arrogance’.

Saya meminjam pendekatan yang digunakan oleh Nassim Nicolas Taleb dalam bukunya, ‘The Black Swan — the impact of the Highly Improbable’ (Taleb, 2007) dalam mencabar ‘kesempurnaan’ idea satu zaman superabundance yang menjadi modal utama anak bujang saya itu. Dalam menerangkan tentang apa yang kita TIDAK tahu, kita tidak boleh menggunakan terma-terma yang kita gunakan untuk menerangkan apa yang kita tahu. Ini kerana kita boleh terperangkap dalam intellectual maps of reality. Ini satu bias pemikiran. Telah menjadi kelaziman sebenarnya untuk kita menyamakan kesemuanya tentang apa yang kita tidak tahu the unknown, the improbable, the uncertain. Bolehkah?

Inilah yang telah diterangkan dalam buku ‘The Black Swan’ itu, iaitu apa yang dikatakan sebagai apa yang kita tahu, dan apa yang kita ‘rasa’ kita tahu. Falsafah Plato memfokuskan pada sesuatu yang berpaksi pada satu yang ditakrif dengan sempurna, yang definite. Tetapi kita tidak mendapat (tahu) dengan jelas the ‘map by territory’ itu i.e. antara apa yang kita tahu dan apa yang kita ‘rasa’ kita tahu. Pada mana berlaku yang bersalahan daripada apa yang kita rasa kita tahu, maka ia boleh membawa kepada satu impak besar — inilah fenomena Black Swan yang bersifat outlier (jarang-jarang, kadang-kadang) dan retrospective (bila berlaku, barulah kita tahu). Jika kita mengambil perkiraan pada apa yang dikatakan sebagai Black Swan maka dunia sebenarnya lebih menjurus pada satu dystopia di masa depan!

Apa yang saya nak tekankan di sini ialah kita ini masih terlalu jauh sangat daripada keupayaan untuk membayangkan kejadian dan keadaan satu model kompleks. Sedangkan pemodelan yang melibatkan satu sistem mikro molekular pun tidak tersampai kuasa pengkomputeran dan teknologi yang sedia ada bagi menjana simulasi walau hanya untuk satu fungsi mekanisma biologikal. Saya pernah menulis tentang ini di sini.

Saya fikir hujah saya tentang betapa tidak mungkinnya berlaku satu dunia ideal tanpa terganggu-gugat ini tanpa ianya melibatkan kepupusan spesis bernama manusia — tidak dapat diterima baik oleh anak bujang kerana dia terlalu mahukan ianya berlaku. Saya rasa, dia terlalu menaruh harapan yang sangat besar kerana ini adalah sesuatu yang memberi penyelesaian muktamad pada masalah sosial dan pembangunan tamadun manusia sejagat. Saya percaya ini juga adalah harapan setiap kita di dunia ini. Tetapi, adakah sesuatu itu PATUT berlaku hanya kerana ia elok dan baik dan perlu berlaku kerana semua kita ini mendambakan dan mengharapkan ianya berlaku? Kalaulah begini keadaannya tidaklah kita dengar selalu orang memperkatakan: bad things happen to good people!

Malah semua kita tentu sedia maklum John Lennon itu telah mati ditembak di kediamannya di Amerika Syarikat, dimana beliau sendiri yang telah membuka pintu dan menjemput si pembunuh itu ke dalam. Bukankah ini juga sesuatu yang boleh dicerap sebagai satu peristiwa Black Swan dimana tidak pernah terjangkakan hayat beliau akan berakhir sedemikian — sebelum berlaku yang sedemikian?

Jadi setelah berbalas-balas hujah pada malam itu, anak bujang akhirnya mengalirkan air mata setelah menurutnya saya tidak faham apa yang diperkatakannya, dan setelah saya pula tidak dapat bersabar dari memberi ‘sedikit kata-kata’.

Rujukan

Lee, G. (2003). The Political Philosophy of Juche. Stanford Journal of East Asian Affairs, 3(1), pp. 105–112.

Wood, D. W. (2019). Towards Sustainable Superabundance. In Lee, N. (ed.) The Transhumanism Handbook. Springer Nature Switzerland, Chapter 52, pp. 675–679.

Taleb, N. N. (2007). The Black Swan: the impact of the highly improbable. Penguin.

Terima kasih, dan tahniah kerana anda telah membaca hingga ke akhirnya.

Azizah Asi, July 2022, Oxford UK.

--

--

Azizah Asi

Azizah pernah menjadi pekerja kolar biru semasa menuntut di universiti dalam negeri dan juga luar negeri.