“My Walks” of Life — Satu Pengenalan

Azizah Asi
11 min readMay 20, 2022
Nota: Azizah Asi pernah bekerja di sebuah stesen TV satelit, kemudian di sebuah technology ‘start-up’, kemudian di institusi pengajian tinggi awam, selepas itu di institusi pengajian tinggi swasta, di Malaysia, sebelum berpindah ke United Kingdom bagi melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Beliau sekarang menetap di Oxford — bersama suami dan tiga orang anaknya, dan berminat menulis, berkongsi pandangan dan pengalaman. Di sini beliau hanya cuba menyatakan pandangan tanpa niat untuk meyakinkan secara memujuk atau menghasut. Beliau hanya ingin memberi pandangan alternatif dan rasional. Pendapat dan pandangan dalam tulisan ini berkemungkinan tidak menepati pandangan dan situasi sesetengah pihak — yang mana beliau tidak bertanggungjawab dalam segala bentuk kerosakan dan tuntutan. Segala bentuk penggunaan semula gambar dan penulisan daripada ruangan ini adalah tidak dibenarkan sama sekali, kecuali sebagai rujukan yang mesti dinyatakan dengan jelas sumbernya dari azizahasi@medium.com, dengan disertakan kebenaran bertulis.

Kehidupan saya sebenarnya lebih banyak dihabiskan di rumah, lebih-lebih lagi pada musim pandemik Covid-19. Pada satu ketika, iaitu ketika meninjak masuk musim panas tahun 2021, perasaan tertekan amat memuncak dan kelihatan ketara terutamanya pada anak lelaki saya. Saya mencari-cari apa yang dapat meredakan, sehinggalah saya terjumpa satu aplikasi mobile yang menunjuk arah selain memberi informasi untuk pejalan kaki ke dalam kawasan-kawasan hutan kecil dan sungai yang terpencil di sekitar tempat tinggal saya.

Saya sangat teruja — kerana ia sungguh sinonim dengan pembangunan teknologi yang dapat menghubungkan manusia dengan alam, disamping dapat memahami masyarakat setempat dengan lebih dekat, yang dikenali dengan sifat gigih mereka dalam mengukuhkan dan mempertahankan nilai-nilai budaya.

‘Oxon Walks’

Aplikasi Oxon Walks.

Saya anggap aplikasi mobil ini tidaklah secanggih mana pun — cuma menggunakan data dari GPS (atau yang sewaktu dengannya) bagi mengkodinitkan dan memetakan pergerakan di kawasan terpencil seperti di tepi sungai dan hutan rimba. Yang mana di sini hutan rimbanya pun agak kecil jika hendak dibandingkan dengan hutan rimba di bumi Malaysia.

Sungguh konsisten sekali lorong-lorong berpagar yang dibina oleh badan berkuasa (county council) yang menyusuri ladang-ladang bijirin, padang-padang ternakan, yang menghubungkan ke kawasan berhutan (forest park). Ada juga yang menghubungkan ke sungai-sungai kecil yang mengalir masuk ke kawasan kampung dan menyusuri hampir dengan rumah-rumah. Ada juga kelompok orang-orang di sini yang tinggal di rumah atas air (boathouse)— contohnya seperti di the Thrupp.

The Thrupp — rumah bot.

Teringatlah pula saya kepada nama Kampung Sungai Terap, di Batu Gajah, Perak, macam ada bunyi-bunyi dia!

Soalan cepumas

Dalam pada terpesona mengharungi liku-liku dan hari-hari sedemikian, tercetuslah ilham untuk membuat catatan berkenaan beberapa perkara yang saya terfikir dan yang mengganggu fikiran, contohnya bagaimana tidak tepatnya persepsi orang tentang saya bila dinyatakan yang saya tinggal di luar negeri.

Perkara utama yang paling penting untuk ditanyakan mesti berkenaan pekerjaan: kerja apa di sana? Saya kira pekerjaan itu sangat penting dalam menilai kualiti seseorang barangkali.

Sejujurnya, saya tidak bekerja. Bila ditanyakan dengan soalan sebegini, saya berasa agak janggal kerana ia sesuatu yang agak privasi dan tidak patut sewenang-wenangnya ditanya secara terbuka. Sebagai seorang dengan latarbelakang akademik dan memiliki PhD dalam bidang spesifik — “Structural Biology and Computational Biochemistry”, saya memang telah lari jauh dari sasaran utama saya datang ke negara ini.

Antara soalan ala jenaka yang berbunyi agak kasar pula adalah: kerja di zoo ke?

Sejujurnya, pendidikan saya di sebuah universiti tempatan di Malaysia agak bercelaru — saya kira tak perlu saya perbesar-besarkan isu ini sekarang. Walaupun mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang pengkhususan Zoologi, saya telah melalui sesuatu yang di luar bidang kuasa saya untuk menentukan mahupun untuk mempersoalkan — terutamanya sekarang.

Ada juga soalan yang berbunyi agak angkuh (sekiranya saya memberi jawapan yang agak tidak langsung bila ditanya pertama kali): dekat UK ni awak bekerja atau tidak?

Maka terkebil-kebillah saya menjelaskan yang sebenarnya!

Kadang-kala saya hairan bila saya bertemu orang-orang Malaysia atau kawan-kawan lama — mereka sangat teruja hendak bertanya cerita-cerita terkini saya, tapi bila saya tanyakan tentang mereka pula, mereka agak keberatan berkongsi kisah mereka. Selalunya kalau bermesej, perbualan kami itu akan terputus pada bila saya bertanya-balas kepada mereka.

Dagang menumpang VS Dagang bertempat

Sebagai seorang pemastautin/imigran, adalah penting untuk saya menjelaskan bahawa saya menyedari kedudukan saya di sini yang bolehlah dikatakan agak sinonim dengan satu karektor dalam cerita Melayu klasik ‘Sri Mersing’ i.e. Damak. Manakan boleh disamakan dagang menumpang dengan dagang bertempat walau bagaimana sekali kita menjunjung langit di bumi yang dipijak.

Walaupun dari sisi yang lain saya percaya hidup di dunia ini memang selayaknya dilayari seperti dagang menumpang — maka kasih dan hormat kepada mereka-mereka yang sanggup tinggal di rumah-rumah bot mahupun karavan yang terdapat di sini.

Jadi, dengan kata lain, kerana tidak berpuas hati dengan reaksi dan jangkaan orang, maka terhasillah sedikit catatan buat pengubat rasa kesal. Kesal — mungkin kerana saya telah kehilangan satu ‘nikmat dunia’ untuk bergelar seorang ‘penjawat maha hebat’ yang menyumbang ke arah peningkatan GDP negara. Selebihnya kesal — kerana saya tidak menjangkakan untuk tersasar jauh dari matlamat sebenar untuk menjadi seorang pendidik anak bangsa.

Ignoran Terdidik

Baru-baru ini saya telah membaca satu tulisan Saudara Mohd Fudzail Mohd Nor penerbitan Malaysiakini berjudul “Ignoran Terdidik” yang menerangkan dengan perincian data perkara yang saya kira agak perlu kita berikan perhatian.

Memetik ulasan Fudzail — adalah menjadi kebimbangan bila memikirkan bagaimana pencapaian cemerlang pendidikan negara bilamana kita melihat data terkini, dan pada masa yang sama masalah-masalah dan isu-isu penting negara terus menjurus pada tahap yang genting. Apa yang beliau maksudkan ialah ketidakseimbangan dan ketidakmampuan dari segi intelek masyarakat bilamana struktur pendidikan kita tidak mampu untuk mendidik cara befikir.

Kita tidak pandai untuk mempersoalkan apa-apa (samada diri sendiri atau sesiapa), apalagi mengupas persoalan, apalagi mencabar ketetapan autoriti. Sebaliknya, sesiapa yang berani mempersoalkan dan mencabar tidak disokong dengan adil — dan itu tidak lagi termasuk tindakan-tindakan disiplin dan hukuman ‘maha hebat’ dari pihak autoriti penurut membabi-buta.

Dari segi pendidikan ilmiah, mendidik cara berfikir bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai, ianya sangat bergantung pada pendekatan digunakan yang bersandarkan pada kajian-kajian lebih spesifik bidang pendidikan semestinya.

Pedagogi pendidikan dan pengalaman PGCE (Postgraduate Certificate of Education)

Saya pernah menulis satu kertas penyelidikan sebagai sebahagian dari kursus perguruan yang saya ambil (selepas saya tamat PhD) berkenaan pengajaran kaedah mastery dalam pembelajaran Matematik. Mengikut Boylan (2018) kaedah pembelajaran mastery berkait rapat dengan perkembangan growth mindset dan peningkatan motivasi dalam pembelajaran.

Kaedah mastery ini sebenarnya mengekalkan pendekatan tradisional (yang pasif) dalam pembelajaran, meskipun sekarang ini terdapat pelbagai model-model pedagogi yang lebih moden digunakan bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran samada secara progressive-based atau process-based (Boaler, 1996, 2008; Kim et al, 2014; Ames, 1992; van Manen, 1992; Niemi et al, 2013).

Pendekatan mastery ini juga pada mulanya hanya berteraskan pada intervention: pemberian feedback dan aktiviti corrective secara berulang-ulang dalam kelas, dan penilaian formative secara berkitar (i.e. memfokuskan penilaian pada topik-topik yang masih belum dapat dikuasai oleh murid-murid). Bahan-bahan pengajaran (resources) dengan instruction berkualiti melalui pendekatan mastery ini telah juga dibangunkan dan diterbitkan secara komersil (dengan yuran langganan).

Apa yang saya hendak tekankan di sini sebenarnya ialah pembelajaran dari segi kefahaman konsep dalam mencapai pengetahuan secara mendalam (depth of knowledge) dengan mengajarkan bahasa dan perbendaharaan (vocabulary) matematik, pemikiran matematik, kreativiti dan fleksibiliti dalam menyelesaikan masalah melalui penggunaan konsep-konsep yang dipelajari, dengan mengkaji, menyelidik dan mendapatkan informasi.

Walaubagaimanapun, saya tidak dapat menyempurnakan kertas kerja penyelidikan ini mengikut perancangan asal kerana pelaksanaan pengajaran dan penyelidikan terpaksa diubah mengikut kesesuaian norma baru yang disebabkan pandemik Covid-19 dan arahan perintah kawalan pergerakan dimana sekolah-sekolah telah ditutup.

Saya fikir sudah sepatutnya pihak berkuasa di Malaysia mengambil tindakan untuk melaksanakan kaedah-kaedah pengajaran berkesan secara menyeluruh di sekolah-sekolah seluruh negara kerana saya tidak fikir ketidakmampuan dari segi funding adalah masalah utama Kementerian Pendidikan. Sekiranya pula pengetahuan dalam penyelidikan dalam bidang pendidikan adalah masalahnya — saya fikir ada syarikat-syarikat komersil mahupun penasihat (consultant) yang boleh menolong dalam membangunkan method dan instruction pengajaran yang berkualiti. Lihat saja model-model yang digunakan di sekolah-sekolah swasta dan International. Cuma kerajaan perlu lakukan ini semua dengan telus.

Jurang sosial

Dalam meraikan pembangunan negara sepatutnyalah kerajaan memikirkan cara terbaik untuk mengurangkan jurang dalam masyarakat lebih-lebih lagi bila memikirkan kaum yang paling terkesan dalam persekitaran (setting) pembelajaran di sekolah-sekolah kerajaan adalah orang Melayu sendiri. Selagi ini tidak berlaku mana mungkin kita mampu melahirkan generasi-generasi berkualiti untuk menduduki institusi-institusi pengajian tinggi kita dan menjadi insan dan bangsa yang disegani dan bukannya diperkecil-kecilkan oleh sebab ketidakmampuan kita berfikir.

Sudah tiba masanya kita beralih dari memberi perhatian yang tidak bermakna kepada segelintir kejayaan-kejayaan yang kita baca di akhbar — e.g. “Lima pelajar Malaysia diterima masuk Harvard tahun ini”. Saya katakan demikian kerana saya dapat melihat dengan realiti sebenar keupayaan golongan-golongan ini untuk membawa perubahan-perubahan bermakna dalam masyarakat, selain hanya terus menyumbang pada lebarnya jurang dalam masyarakat yang sedia ada.

Sebenarnya, kita ini cuma mencari sesuatu yang dapat memberi keyakinan bahawa kita telah berada pada tahap yang sekian-sekian dalam pencapaian, tanpa menyedari ianya tidak signifikan langsung — confirmation bias. Apa yang kita perlukan ialah membina persekitaran yang boleh menjana secara progresif dan melalui proses-proses organik untuk pencapaian dalam apa-apa sekalipun yang kita mahukan. Fikirkanlah, pada satu masa nanti tidak mungkin sarjana-sarjana lulusan Harvard ini mahu berada dalam persekitaran yang tidak akan mampu menyokong mereka untuk mencapai impian mereka seterusnya. Lebih menyedihkan ini bukannya salah mereka pun. Ini kerana masyarakat sendiri tidak bersedia untuk memahami dan menerima idea-idea mereka, tidak mampu memahami bahasa-bahasa kompleks, apalagi menghormati kepimpinan golongan ini dalam masyarakat dengan adil dan selayaknya.

Jadi apakah pencapaian yang kita harapkan jika kita tidak meletakkan pendidikan sebagai suatu yang perlu kita democratise? Ia sebenarnya sesuatu yang sangat buruk dan pincang. Apalagi menyedari kebelakangan ini bukan hanya golongan bukan Melayu sahaja yang sangat teruja untuk mengambil peluang bekerja dan berpindah (migrate) ke luar negara, tetapi sekarang ini nampaknya lebih ramai anak-anak muda kita sendiri yang telah dapat melihat sejauh mana impian mereka semakin sudah tidak relevan lagi dengan persekitaran negara sendiri yang kalau difikirkan sepatutnya memberikan mereka peluang-peluang lebih besar dengan sokongan dasar-dasar dan polisi-polisi atas nama Perlembagaan Negara.

Apa yang saya lihat ini bukan hanya pada anak-anak muda yang datang belajar bagi ijazah tertiari, tetapi juga mereka yang telah mencapai tahap pekerja professional di Malaysia, tetapi merasakan mereka perlu berbuat sesuatu demi memberi peluang kepada anak-anak mereka mendapat pendidikan awal yang baik yang tidak mereka perolehi di negara sendiri. Jelas perkara ini merugikan negara — tetapi bagaimanakah pula ianya merugikan diri mereka sendiri?

Biar saya berikan jawapannya yang jelas di sini — maksud saya tanpa berselindung.

Walaupun di sini saya agak kurang berkawan dan mengenali orang-orang (sebenarnya di Malaysia pun) tetapi berdasarkan apa yang telah saya lalui yang mana dahulunya saya terlibat dalam penyelidikan begitu lama di Oxford University, dan kemudian kerja kursus perguruan yang saya ambil di University of Reading, yang mana saya telah ditempatkan sebagai guru pelatih di tiga buah sekolah, dan saya pernah juga bekerja di satu sekolah lain sebelum itu, tidak termasuk lagi pengalaman sehari-hari dengan jiran tetangga dan masyarakat sekitar samada yang berjaya, yang professional, mahupun yang tidak — bolehlah saya katakan saya lebih banyak melihat golongan-golongan yang tidak seronok di sini adalah imigran berbanding orang tempatan.

Bagaimanakah ini merugikan sedangkan imigran mendapat imbuhan-imbuhan hidup dan peluang-peluang besar yang boleh mereka pergunakan samada untuk hidup seadanya atau mungkin juga lebih berjaya? Golongan imigran di sini tidak boleh disamakan dengan imigran di Malaysia dari segi hak-hak untuk pendidikan, perniagaan, bekerja, berpolitik dan sebagainya.

Identiti bangsa dan jurang identiti

Tetapi, saya fikir ada yang lebih penting dari itu. Sebenarnya, saya telah memerhatikan anak-anak saya membesar dengan identiti bangsa yang kurang jelas. Mereka mempersoalkan bagaimana identiti sebenar yang mereka pegang iaitu sebagai warga Malaysia tidak memberikan apa-apa makna kepada mereka. Mereka juga tidak dapat menerima dengan mutlak asimilasi sebagai warga Britain kerana masih boleh merasakan diri mereka berbeza. Ini sebenarnya saya lihat bukan pada anak-anak saya sahaja tetapi juga anak-anak imigran dari pelbagai latarbelakang.

Saya melihat perkara ini sebagai suatu yang telah menghadkan potensi mereka, walaupun dari segi polisi kerajaan di sini memberi keutamaan dan peluang-peluang kepada golongan-golongan etnik yang underrepresented atas nama equal opportunity.

Percayakah anda kalau saya katakan adalah sangat sukar untuk menembusi jurang identiti ini? Saya telah melaluinya dan tidak berjaya. Saya mengandaikan mungkin ada mereka-mereka yang berjaya. Dan mungkin juga anak-anak saya akan lebih berjaya dari saya, tapi setakat ini saya melihat dan memahami kesukaran ini (yang bergantung kepada latarbelakang imigran itu juga).

Jadi apabila potensi tersekat aturan yang berlaku adalah mengikut prinsip keabadian tenaga — i.e. ia perlu disalurkan. Apabila seseorang ‘tidak seronok’ maka mereka akan berusaha membuat orang lain tidak seronok juga. Jadi kitaran tidak seronok inilah yang merugikan di mana potensi sebenar tidak dapat disalurkan kepada sesuatu yang membina. Dalam hal ini, saya tidak nampak bagaimana ia lebih merugikan orang-orang tempatan di sini.

Saya akan menyambung penjelasan saya berkenaan jurang identiti yang saya maksudkan ini dengan memberi penekanan kepada perbandingan dengan identiti bangsa di Malaysia pula — nanti, pada episod akan datang. Ini kerana saya merasakan jurang identiti bangsa di Malaysia telah ‘dipermudahkan’ atau ‘dipintas’, tanpa adanya pendekatan efektif dalam mendidik masyarakat untuk memahami identiti bangsa Malaysia yang telah dibentuk dan bagaimana kita semua dapat menyesuaikan, menghormati, dan meraikan perbezaan sesama kita. Kalaupun ada, pendekatan yang diambil lebih bersifat superficial dengan menenggelamkan fakta-fakta sahih dan naratif-naratif yang lebih tepat.

Seterusnya berbalik kepada perbincangan berkenaan kepincangan intelek masyarakat Malaysia dan pentingnya memberi penekanan kepada mendidik cara berfikir. Mengapa?

Pentingnya mendidik cara berfikir

Cara berfikir mempengaruhi keputusan-keputusan penting yang juga boleh menjerumuskan kepada keadaan yang kadang-kala mungkin melibatkan persoalan ‘hidup dan mati’ juga. Kegagalan untuk berfikir secara logik boleh dirujuk sebagai cognitive error. Saya kira ia adalah pemasalahan berskala besar, kerana melibatkan keputusan-keputusan dalam hidup yang kita ambil yang mana memberi impak besar. Ini termasuklah bagaimana kita memainkan peranan sosial, keupayaan untuk menepis propaganda-propaganda yang disogokkan oleh media-media arus perdana dan menilai dengan ‘sedar’ situasi-situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan.

Memetik buku tulisan Rolf Dobelli, “The Art of Thinking Clearly”, masalah pemikiran yang lari dari logik adalah sesuatu yang sistematik sifatnya kerana dilakukan secara rutin — berulang-ulang kesalahan-kesalahan yang pada dasarnya sama sahaja sifatnya dilakukan.

Jadi di sini saya ingain menekankan betapa pentingnya pendidikan dalam pelbagai bidang akademik yang perlu menjuruskan dan menyasarkan pada cara berfikir yang betul, logik, dan bukan tersesat menjurus pada error, bias dan fallacy — kerana impaknya adalah pada kehidupan kita keseluruhannya dan generasi-generasi seterusnya yang akan menanggung bebannya.

Langkah seterusnya …

Saya memikirkan langkah seterusnya yang menjurus pada perkongsian pandangan dan pengalaman — walaupun saya percaya bukanlah mudah untuk memberi pengertian dan mendapat penghargaan daripada orang-orang. Sekarang ini pun perkara utama yang menjadi masalah saya ialah dalam berinteraksi dengan ahli keluarga sendiri dan kawan-kawan di Malaysia — yang tidak mungkin lagi sama sepertimana masa dahulu. Walaubagaimanapun, dalam keadaan sekarang, saya masih ingin mencuba — bukanlah untuk diterima dan dipandang hormat oleh orang-orang, jauh sekali untuk menunjuk pandai dan merasakan diri dan hidup ini telah lengkap. Saya melakukan ini semua lebih sebagai peringatan dan nota masa depan untuk diri sendiri dan rasa tanggungjawab sebagai seorang insan.

Saya berharap anda mengambil penulisan saya ini seadanya kerana sebagai seorang insan saya tidak dapat lari dari ketidaksempurnaan.

Rujukan

Mohd Nor, M.F. (2022). Ignoran Terdidik. Malaysiakini.

Boylan, M., Maxwell, B., Wolstenholme, C., Jay, T. and Demack, S. (2018). The Mathematics Teacher Exchange and ‘Mastery’ in England: The Evidence for the Efficacy of Component Practices. Education Sciences, 8(4), pp. 17–33.

Boaler, J. (1996). Learning to lose in the mathematics classroom: a critique of traditional schooling practices in the UK. International Journal of Qualitative Studies in Education, 9(1), pp. 17–33.

Kim, C. M., Park, S. W., Cozart, J., Lee, H. (2014). From Motivation to Engagement: The Role of Effort Regulation of Virtual High School Students in Mathematics Courses. Journal of Educational Technology & Society, 18(4), pp. 261–272.

Ames, C. (1992). Classrooms: Goals, Structures, and Student Motivation. Journal of Educational Psychology, 84(3), pp. 261–271.

van Manen, M. (1991). The tact of Teaching: The Meaning of Pedagogical Thoughtfulness. New York: State University of New York Press.

Niemi, R., Kumpulainen, K., Lipponen, L., Hilppo., J. (2013). Pupils’ perspective on the pedagogy of the classroom. Education, 43(6), pp. 681–697.

Dobelli, R. (2013). The Art of Thinking Clearly. Sceptre.

Terima kasih.

Azizah Asi, May 2022, Oxford UK.

--

--

Azizah Asi

Azizah pernah menjadi pekerja kolar biru semasa menuntut di universiti dalam negeri dan juga luar negeri.